Pemerintahan korupse Kaitan September 11 dengan Arab Saudi

Oleh Tariq Ali
Perampas kapal yang bertanggungjawab untuk kezaliman 11hb September yang lalu bukannya fanatik buta huruf dan berjanggut dari kampung-kampung pergunungan Afghanistan. Kesemua mereka merupakan profesional yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi dari kelas menengah. Tiga belas daripada sembilan belas orang yang terlibat adalah rakyat Arab Saudi. Nama-nama mereka memang senang dikenali. Tiga lelaki yang bernama Alghamdi datang dari daerah Hijaz, iaitu tapak bandar suci Mekkah dan Medina. Mohamed Atta, yang dilahirkan di Mesir, mengembara dengan pasport Arab Saudi. Tidak kira jika dia memberi arahan menyerang atau tidak, yang pasti adalah bahawa sebahagian besar daripada kader (dan bukannya askar darat) Ossama bin Laden bertempat di Mesir dan Arab Saudi, iaitu dua penyokong Amerika Syarikat di kawasan itu selain Israel. Sokongan bagi bin Laden di Arab Saudi memang mantap. Dia pernah menjadi kawan rapat ketua Jabatan Perisikan Saudi, iaitu Putera Turki bin Faisal al-Saud, yang dibuang kerja bulan lepas kerana gagal menghalang serangan terhadap wakil Amerika Syarikat di Riyadh. Sebab sebenar pembuangannya mungkin kerana dia duduk di atas pagar apabila pertikaian mencetus untuk menggantikan Raja Fahd yang meninggal dunia. Kedua-dua pihak yang bertelingkah itu memahami bahawa persahabatan yang terlalu rapat dengan Amerika Syarikat mungkin merbahayakan. Oleh kerana itu, rejim Arab Saudi sehingga sekarang belum membenarkan Amerika Syarikat menggunakan tapak-tapak tenteranya untuk menyerang Afghanistan.
Pada masa-masa biasa, pemerintahan Arab Saudi tidak dihiraukan oleh media massa dunia barat. Duta-duta Saudi melaporkan ke negara lain bahawa semuanya berjalan dengan lancar dan kekuasaan pemerintah Saudi tidak terancam. Media massa memerlukan seorang rakyat Amerika Syarikat atau Britain dipenjarakan atau seorang jururawat Britain dibunuh selepas dibuang dari tingkap sebelum mereka memberi fokus kepada rejim Arab Saudi. Tidak banyak diketahui mengenai agama rasmi, yang bukannya versi biasa Islam Suni atau Shia, tetapi versi bersifat virus dan mementingkan tatasusila yang dikenali sebagai Wahhabisme. Inilah agama rasmi keluarga di-raja Saudi, birokrasi kerajaan, tentera darat dan udara, dan juga Ossama bin Laden, iaitu rakyat Arab Saudi yang paling terkenal di dunia, dan yang kini menetap di Afghanistan.
Ini mungkin dapat disamakan dengan peristiwa seperti penggantian Gereja England dengan Gereja Reformasi Bersatu pimpinan Dr. Ian Paisley, atau jika keluarga di-raja Britain tiba-tiba menganut kepercayaan Paisley itu, atau jika birokrasi kerajaan dan angkatan tentera dipaksa menganut kepercayaan pelampau itu.
Shekh Mohammed Ibn Abdul Wahhab, yang memberi inspirasi bagi permulaan versi Islam ini, merupakan seorang petani abad ke-18 yang bosan dengan kehidupan menanam palma kurma dan menternak lembu, dan dia bermula berkhutbah memanggil pengembalian kepada kepercayaan suci abad ke-7. Dia menentang penghormataan melampau Nabi Mohammed, mengutuk penyembahan tempat-tempat dan makam-makam suci sambil menegaskan “perpaduan satu Tuhan.” Sebegitu, ini memang tidak merbahayakan, tetapi pendekatan sosial inilah yang menimbulkan masalah pada tahun 1740-an: dia berpegang kuat kepada hukuman balas Islam. Menurutnya, mereka yang berzina patut dilontar batu sehingga mati, tangan pencuri patut dipotong, penjeneyah patut dihukum mati di tempat awam. Pemimpin agama di kawasannya membantah apabila dia mengamalkan kepercayaannya dan pemerintah tempatan di Uyayna meminta dia meninggalkan daerah itu. Wahhab melarikan diri ke Deraiya pada tahun 1744 dan berjaya mendapat sokong pemerintah dearah itu, iaitu Mohammed Ibn Saud. Ibn Saud, iaitu pengasas keluarga beraja yang memerintah di Arab Saudi pada hari ini, menggunakan semangat baru Wahhab untuk memupuk rasa berdisiplin di kalangan puak-puak yang berlainan sebelum mengarah mereka bertempur dengan Empayar Uthmaniah. Wahhab berpendapat bahawa Sultan Uthmaniah di Istanbul adalah seorang hipokrit yang tidak layak menjadi Kalif Islam, dan dia telah memperjuangkan perang jihad (atau perang suci) menentang sesiapa yang ingin memodenisasikan Islam, mereka yang bersifat hiprokrit dan juga mereka yang berkafir. Pihak Uthmaniah menyerang, dan berjaya menangkap Hijaz, Mekkah dan Medina, tetapi pengaruh Wahhab berterusan, dan keberanian askarnya menjadi sebahagian daripada cerita turun-temurun. Perasaan proto-nasionalisme ini digunakan oleh pengganti-pengganti Saud untuk meluaskan pengaruh mereka ke merata semenanjung Arab Saudi.
Dua abad kemudian, mereka membina dasar untuk negara yang kini dikenali sebagai Arab Saudi, tetapi yang mengubah wajah negara itu adalah perjumpaan ‘emas cecair’ atau minyak mentah. Mengkhuatiri persaingan dari Britain, Amerika Syarikat telah menggabungkan perusahaan Esso, Texaco dan Mobil untuk menjadi Syarikat Minyak Amerika-Arab (Arabian American Oil Company; ARAMCO). Hubungan yang diwujudkan pada tahun 1933 ini diperkuatkan lagi semasa Perang Dunia Kedua, apabila tapak tentera udara Amerika Syarikat di Dhahran dikatakan “penting bagi pertahanan Amerika Syarikat.” Kaum kerabat Arab Saudi dibayar berjuta-juta dolar untuk membangunkan negara mereka. Rejim itu memang memerintah tanpa kawalan, tetapi mereka ibarat pertahanan penting dalam penentangan komunisme dan nasionalisme, dan oleh kerana itu, Amerika Syarikat tidak menghiraukan apa yang berlaku di sebalik tabir negara itu.
Campur tangan Amerika Syarikat dan pembinaan negara Arab Saudi digambarkan dengan begitu jelas sekali oleh salah satu karangan termasyhur bahasa Arab: pentalogi ‘Cities of Salt’ oleh pengarang yang diusir negara, Abdelrahman Munif (kelahirannya pada tahun 1933 juga merupakan tahun negara Arab Saudi diwujudkan). Karangan fiksyen dia yang berbagai lapis – ganas, berfantasi dan lucu – memarahkan kerabat di-raja Arab Saudi. Kewarganegaraannya ditarik balik, dan dia dilarang memasuki tanahairnya. Buku-bukunya menjadi seludupan yang tersebar di merata-rata, termasuklah di istana-istana. Ketika saya bertemu dia hempir sepuluh tahun yang lalu di London, pemikirannya masih jelas seperti dahulunya: “Abad ke-20 menghampiri penghujungnya, tetapi apabila dunia barat melihat kita, mereka hanya melihat minyak dan dolar-petro. Arab Saudi masih tidak mempunyai perlembagaan, hak-hak rakyat masih belum dibela, termasuklah hak untuk menyokong rejim itu tanpa kebenaran. Kaum perempuan, yang memiliki sejumlah besar daripada harta di negara itu, masih dilayani seperti rakyat kelas bawahan. Seorang perempuan tidak dibenarkan meninggalkan tanahair tanpa kebenaran bertulis dari saudara lelaki. Keadaan sebegitu menghasilkan rakyat yang putus harapan, tanpa rasa kemuliaan…”
Dengan penafian segala pembukaan sekular di sesebuah masyarakat di mana keluarga di-raja (iaitu suku kaum yang berpecah-belai) dan imam-imam menguasai segala aspek kehidupan harian, bangkitlah beberapa perjuangan pada tahun 1960-an dan 1970-an. Salah satu daripada buku cerita Munif, iaitu The Trench, berakhir dengan adegan dahsyat. Dua revolusi sedang dirancangkan, salah satu daripadanya oleh pemuda marah yang dipengaruhi oleh idea-idea moden. Satu lagi revolusi sedang dirancang secara bersunyi-sunyi di istana. Semuanya berakhir dalam air mata dengan perintah berkurung dan kereta kebal di jalanraya. Pejuang muda itu mendapati bahawa revolusi yang silap telah berjaya. Analogi ini sama dengan pembunuhan Raja Feisal pada tahun 1975 oleh anak saudara sendirinya, Putera Faisal Ibn Musaid. Sepuluh tahun sebelum itu, Putera Khalid (iaitu abang Ibn Musaid), seorang penganut Wahhabisme, telah berdemonstrasi menentang kedatangan television ke negara itu. Pihak polis telah memasuki rumahnya dan menembaknya sehingga mati. Sehingga hari ini, Putera Khalid disembah oleh penganut setia Wahhabisme, dan beberapa tahun kemudian, kerajaan Taliban turut memberi penghormataan dengan membakar kaset audio dan video di tempat awam serta mengharamkan television.
Namun demikian, Wahhabisme kekal sebagai agama rasmi Arab Saudi, diimport dengan dolar-minyak untuk membiayai kegiatan puak pelampau di merata dunia. Dalam peperangan menentang USSR, pihak tentera sulit Pakistan telah memohon Arab Saudi untuk menghantar seorang putera untuk memimpin perang jihad di Afghanistan. Tidak ada sesiapa yang menawarkan diri, dan akhirnya keluarga di-raja Arab Saudi mengajukan seorang anak keluarga kaya yang rapat dengan kaum kerabat. Ossama bin Laden dihantar ke sempadan Pakistan dan sempat mendengar Penasihat Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat, Zbigniew Brezinski, yang lengkap dengan turban, menjerit, “Allah menyebelahi anda!”
Sekolah agama yang bertapak di Pakistan, di mana pihak Taliban dididikkan, dibiayai oleh pihak Arab Saudi, dan pengaruh Wahhabisme memang kuat. Tahun lepas, apabila kerajaan Taliban mengambil keputusan untuk meletupkan ukiran besar Buddha, beberapa orang imam dari Qom dan al-Azhar menentang kegiatan itu berdasarkan sifat toleransi agama Islam. Sebuah delegasi Wahhab dari Arab Saudi menyeru kerajaan Taliban mengambil langkah zalim itu. Kerajaan Taliban bersetuju. Desakan Wahhabisme untuk menperjuangkan perang jihad yang berterusan menentang segala musuh, biarpun mereka penganut Islam atau sebaliknya, telah meninggalkan kesan negatif pada pemuda-pemudi yang bertandang ke Kabul. Pada masa itu, Amerika Syarikat bersimpati dengan kegiatan Taliban. Parti Republikan di Amerika Syarikat yang lebih ghairah dengan pelajaran sesat Kristian memang tidak dapat memberi nasihat mengenai isu ini, dan Bill Clinton serta Tony Blair menganggap kegiatan mengiklankan agama Kristian mereka sebagai aktiviti lebih penting.
Tahun lepas, seorang pakar negara Pakistan dari Jabatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, iaitu Stephen P. Cohen, menulis dalam Wall Street Journal (edisi Asia, 23hb Oktober, 2000) bahawa, “ada madrasa, atau sekolah agama, yang begitu baik.” Dia mengaku bahawa sekolah agama yang lain “merupakan tempat makhsiat bagi jihadi dan gerakan Islam pelampau yang lain,” tetapi ini hanyalah 12 peratus daripada jumlah. Menurutnya lagi, 12 peratus daripada sekolah itu harus “dipertingkatkan untuk memberi pelajar mereka pendidikan moden.” Sifat toleransi ini menggambarkan polisi Amerika Syarikat sebelum 11 September dengan jelas.
Selepas pepecahan Blok Soviet, tentangan dalam negeri Arab Saudi dikuasai sepenuhnya oleh kumpulan-kumpulan agama. Penganut Wahhabisme setia kini menganggap dunia Arab dicabuli kerana hubungan dengan Amerika Syarikat. Yang lain pula hampa dengan kegagalan Riyadh untuk mempertahankan rakyat Palestin. Penempatan askar Amerika Syarikat di Arab Saudi selepas Perang Teluk menjadi titik permulaan bagi serangan ke atas tapak tentera dan askar asing. Mereka yang mengarahkan serangan ini merupakan rakyat Arab Saudi sendiri, tetapi rakyat Pakistan dan Filipina pula yang didakwa dan dihukum bunuh untuk menyenangkan hati Amerika Syarikat.
Ekspedisi yang dihantar ke Pakistan baru-baru ini untuk memotong tangan-tangan Wahhabisme mungkin atau mungkin tidak berjaya, tetapi kepalanya masih selamat di Arab Saudi, menjaga perigi minyak dan mengajukan tangan baru, dan dijaga oleh askar Amerika Syarikat dan tapak tentera udara Amerika Syarikat di Dhahran. Kegagalan Washington untuk menjauhkan diri dari kaum kerabat di-raja Arab Saudi mungkin akan membawa kebinasaan yang baru. Mereka harus mengambil nasihat Abul Ala al-Maari, seorang penyair abad ke-10:
“Dan di mana Putera pernah memerintah, sekarang jeritan angin sedang bertiup melalui halaman negara. ‘Di sini,’ angin itu menyeru, ‘pernah terdapat seorang raja yang tidak tahan mendengar tangisan mereka yang lemah.”



0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
Links to this post:
Create a Link
<< Home