Media For The Working Class Kids In Malaysia

All about working class and related stuff.

Friday, March 02, 2007

Hipokrasi kaum dan agama bermaharajalela

Ekoran pengeboman di Amerika Syarikat dan serangan balas Amerika ke atas Afghanistan

Oleh S.Arutchelvan (Setiausaha Agung PSM)

Tanggal 11hb. September 2001, merupakan satu tarikh yang akan terus menukar wajah dunia, yang akan membawa perubahan mendadak kepada sistem dunia baik dari segi ketenteraan, ekonomi mahupun politik. Serangan bunuh diri ke atas New York telah menimbulkan satu reaksi ketenteraan yang amat dahsyat dari kuasa tentera terbesar dan terkuat di dunia iaitu Amerika Syarikat. Sebagai simbol pemimpin kapitalisme dan kuasa dunia, serangan ke atas bumi Amerika telah menampar maruah kerajaan pimpinan George W. Bush dan harga diri inilah yang cuba dikembalikan oleh Amerika.

Namun demikian, belum sempat orang-orang yang dituduh dihadapkan ke mahkamah, kerajaan Amerika telah mengisytiharkan perang dan mengumumkan siapa musuhnya. Mana-mana negara yang tidak menyokongnya, akan dipujuk. Jika berdegil, negara-negara berkenaan pula bakal dicap sebagai penyokong penganas dan menjadi musuh Amerika.

Mengimbas kembali 12 tahun yang lalu, kerajaan Amerika tidak akan berani mendabik dada begitu kerana ada kuasa pengimbang, iaitu Kesatuan Soviet dan blok komunisnya. Selepas keruntuhan Blok Komunis, kerajaan Amerika menjadi kuasa ulung yang mahu menentukan arah politik dunia. Kini musuh kerajaan Amerika yang baru adalah Taliban pimpinan Mullah Omar dan dibiayai oleh Osama bin Laden, yang memerintah Afghanistan walaupun tanpa mendapat sokongan sepenuhnya rakyat negara itu.

Bagi kerajaan Amerika dan sekutu-sekutu kapitalisnya, peperangan adalah rezeki kerana ekonomi mereka bergantung kepadanya. Kalau dunia aman, maka kapitalis antarabangsa, sama ada di Barat atau Timur, akan bersedih. Justeru itu, pemerintah Amerika yang masih terperangkap dengan mentaliti Perang Dingin sentiasa mencari jalan untuk mewujudkan ketegangan dunia, walaupun banyak rakyat Amerika sudah bosan dengan tindakan-tindakan sulit pemimpin mereka.

Untuk sekian lama, kewujudan Kesatuan Soviet dan empayarnya digunakan oleh kerajaan Amerika sebagai alasan untuk memantapkan ketenteraannya. Setelah kejatuhan kuasa komunis itu, bermula dengan keruntuhan tembok Berlin, pucuk pimpinan Amerika mencari-cari musuh baru untuk menghalalkan dasar luar dan ketenteraaannya. Kini Taliban dan golongan pelampau Islam mungkin dapat mengantikan tempat komunis.

Di Malaysia, keadaan perang terkini ini telah meluaskan lagi jurang perbezaan antara golongan Islam dan penganut agama lain. Bagi majoriti golongan Islam, serangan tentera Amerika ke atas Afghanistan dilihat sebagai perbuatan seorang sekularis (Bush) yang berkawan rapat dengan Israel yang dianggap musuh tradisi orang Islam. Sebenarnya ramai orang Islam menyokong serangan bunuh diri ke atas World Trade Centre di New York pada September 11 dan mereka turut bermegah kerana serangan itu dilakukan oleh kumpulan Islam. Bagi kebanyakan orang Islam, pengganas-pengganas itu yang membunuh secara kejam lebih 5,000 orang awam, termasuk orang Islam rakyat Amerika sendiri, dianggap telah berjihad dan kematian mereka adalah mati syahid. Mereka seterusnya menjadi wira kepada kebanyakan orang Islam. Gambar-gambar Osama bin Laden kini menjadi begitu popular dan t-shirt menonjolkan imej pemimpin kumpulan pelampau itu laris dijual di kalangan orang Melayu dan Islam di Malaysia.

Bagi penganut agama lain di Malaysia, ada kalangan mereka yang mengalu-alukan serangan ketenteraan ke atas Taliban kerana mereka amat takut dengan pelampau Islam yang selama ini dianggap tidak ada tolak ansur sama sekali dengan penganut agama lain. Mereka juga amat takut kepada golongan pelampau Islam kerana pada pandangan mereka, orang Islam adalah golongan yang suka berperang. Justeru itu mereka amat setuju jika umat Islam di Afghanitan dimusnahkan dan dihancurkan oleh tentera Amerika dan sekutunya. Bagi orang bukan Islam, persepsi negatif mereka mengenai orang Islam dan negara Islam menjadi semakin kukuh.

Akhbar-akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris di Malaysia pula mengambil sikap yang berbeza untuk menyokong satu daripada aliran ini berdasarkan kepada selera pembaca. Di setiap warung kopi dan tempat awam, topik perbincangan adalah sama. Setiap mereka bersikap memihak. Analisa (atau lebih tepat lagi, keputusan emosional) mereka adalah berlandaskan warna kulit dan agama, tanpa mempedulikan faktor-faktor yang lebih waras dan matang dari sudut-sudut yang berlainan.

Sikap ini sudah menjadi lumrah di Malaysia, dan ia boleh membawa kepada barah masyarakat. Contohnya, apabila berlaku kemalangan di jalan raya, biasanya perkara pertama yang ditanya orang ialah “Yang langgar tu orang Melayu kah, Cina kah atau India kah?” Walaupun sesekali dibincang juga siapa betul, siapa salah – biasanya keputusan dibuat berdasarkan sikap perkauman yang tertanam kukuh di hati sanubari kebanyakan rakyat Malaysia.

Kini satu tragedi besar berlaku di dunia tetapi rakyat Malaysia masih melihatnya dari sudut sempit yang cenderung kepada agama dan kaum mereka. Walaupun ada segelintir rakyat Malaysia yang bersikap neutral dan menentang habis-habisan apa bentuk peperangan sekali pun, mereka tidaklah begitu berpengaruh walaupun pandangan mereka mungkin yang paling tepat dan bernas sekali.

Namun demikian persoalan yang harus dijelaskan di sini ialah siapakah yang benar-benar untung dalam perang ini dan siapakah pula yang akan menderita.

Sejarah dunia telah membuktikan bahawa dalam setiap peperangan, kebanyakan golongan yang mati terdiri dari golongan rakyat kelas pekerja atau berpendapatan rendah. Ini adalah disebabkan kelas kaya dan golongan atasan biasanya tidak terlibat dalam perang kecuali untuk menyuruh rakyat jelata berperang bagi pihak mereka. Mengapa Bush sendiri tidak turun ke Kabul untuk menyerang Osama? Mengapa Osama dan Mullah Omar bersembunyi dan meminta anak-anak muda Taliban yang menjadi benteng peluru ganas tentera Amerika?

Malah, ada juga pemimpin politik di Malaysia mengisytiharkan jihad tetapi mereka sendiri tidak pergi? Mengapa disuruh rakyat marhaen yang menyerahkan tubuh mereka demi jihad?

Justeru itu yang menjadi mangsa perang ialah golongan rakyat biasa, sama ada dari kelas pekerja atau petani, tidak kira dia itu orang Islam, Kristian, Yahudi, Hindu, Buddhist atau tidak punya agama. Harus juga kita faham bahawa Osama sendiri adalah seorang jutawan Arab dan begitu juga dengan Bush yang datang dari keluarga kaya. Yang pastinya, selepas reda perang ini dan tumpahan darah ratusan atau mungkin ribuan rakyat miskin yang berpakaian celoreng atau berserban mula kering dan mayat-mayat bergelimpangan mula busuk dihurung lalat, golongan berpengaruh dan kaya akan kembali untuk memerintah kerajaan seperti biasa. Mereka jarang mati di medan perang. Yang menjadi korban ialah rakyat jelata. Yang kehilangan suami dan kekasih ialah ribuan perempuan yang punyai banyak anak. Mereka pula akan jatuh miskin. Ibu bapa terus meraung kerana kehilangan anak-anak.

Melalui peperangan, golongan yang pasti meraih kekayaan ialah pemilik-pemilik perniagaan peralatan perang, gergasi media massa dan pelbagai syarikat yang bergantung kepada perang untuk mengaut keuntungan yang banyak, termasuk firma gas, kimia dan racun. Bagi pemilik media massa seperti CNN yang dimiliki AOL Time Warner (korporat media terbesar di dunia), setiap tragedi di dunia adalah ‘wang’ semata-mata yang masuk ke dalam saku kapitalis.

Sejarah juga telah membuktikan bahawa setiap perang yang besar di dunia berlaku kerana dua sebab, iaitu (1) perang antara kapitalis yang berebut kuasa, tanah dan hasil bumi, dan (2) perang atas nama agama.

Justeru itu, golongan yang memonopoli agama (sama ada ketua-ketua paderi, ulamak, sami, dan lainnya) dan kapitalis (antarabangsa dan tempatan) sama-sama bertanggungjawab terhadap limpahan darah berpuluh bilion manusia sejak dalam ribuan tahun lalu.

Di zaman moden, Perang Dunia Pertama (1914-18) dan Kedua (1939-45) adalah disebabkan oleh golongan imperialis (semuanya berpusat di Utara, iaitu Amerika Utara, Eropah, Jepun dan juga Empayar Uthmaniah Turki pada awal abad yang lalu) yang datang menakluki banyak kawasan dunia untuk kepentingan ekonomi dan politik kapitalis. Perang-perang sebelumnya seperti Perang Salib pada Zaman Pertengahan adalah disebabkan keghairahan melulu untuk mengembangkan agama di mana benih-benih kebencian di antara orang Islam dan Kristian mula disemai.

Dalam setiap situasi, beberapa teruk sekali pun, ada juga pihak yang akan mendapat keuntungan secara tidak langsung. Di Malaysia, Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad kini menghalalkan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk mencanangkan bahawa negara ini tidak menghadapi masalah penganas yang serius kerana adanya undang-undang kejam itu.

Namun demikian Dr. Mahathir sendiri perlu mengatakan sokongan kepada sentimen orang Islam di Malaysia. Justeru itu, dia juga dengan cukup berhati-hati mengatakan jika orang PAS mahu ke Afghanistan, dia tidak akan melarang mereka. Dia tahu, jika dia melarang, maka sokongan dia di kalangan umat Islam akan terhakis.

PAS pula yang telah menjeritkan "jihad" memang sedar ini adalah strategi paling baik untuk mendapatkan sokongan orang Islam untuk membuktikan PAS adalah parti islam sebenarnya yang lebih baik dari UMNO. PAS memerlukan sokongan ini setelah Dr Mahathir mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam baru-baru ini yang sekali gus mematahkan propaganda PAS sebelum ini bahawa ia mahu menubuhkan Negara Islam.

Jeritan jihad PAS pula mendapat bangkangan dari parti-parti bukan Islam di Malaysia yang menggunakan situasi ini untuk menggambarkan PAS sebagai parti yang melampau kerana menyokong pengganas seperti Osama dan Taliban. Justeru itu, setiap orang cuba mengaut keuntungan secara langsung atau tidak langsung dalam tragedi yang melanda dunia ini. Dunia seolah-olah sudah lupa bahawa lebih 5,000 orang awam dibunuh dengan kejam oleh pengganas bunuh diri di WTC New York.

Kalau kita melihat situasi di dunia ini, memang gologan-golongan yang mempelopori keamanan di dunia masa kini adalah golongan kiri dan progresif yang lain. Demonstrasi besar-besar diadakan di seluruh dunia mengutuk perang yang dilancarkan oleh kerajaan Amerika. Golongan ini nampaknya paling waras dan matang sekali kerana mereka mengetahui yang akan untung dalam perang ini adalah golongan kapitalis dan golongan fanatik agama.

Di Malaysia sendiri, hipokrasi adalah begitu menebal. Dr. Mahathir, contohnya bertanyakan kepada kerajaan Amerika apakah maknanya "pengganas" tetapi di bumi Malaysia, setiap orang yang mahu demokrasi dan demonstrasi aman dilabel olehnya sebagai pelampau. Dr. Mahathir mengutuk serangan ke atas rakyat Afghanistan tetapi pada masa yang sama, Langkawi digunakan untuk menganjurkan Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Antarabangsa (LIMA) iaitu satu tempat untuk mempamer dan menjual pesawat udara, kapal perang dan peralatan perang yang canggih.

PAS pula mengambil kesempatan ini untuk mendapat sokongan orang Islam walaupun mereka tahu tindakan ini akan ditafsir sebagai negatif oleh orang bukan Islam di Malaysia. PAS kini terang-terangan menyatakan kepada umat Islam Malaysia bahawa Bush adalah pemimpin kafir yang harus ditentang tetapi sikap ini juga akan menyebabkan jurang hubungan di antara orang Islam dan pengamal agama lain di Malaysia semakin meluas. Sedangkan PAS yang berhasrat memerintah Malaysia satu hari nanti, bagaimana pula hendak menjustifikasi pendiriannya ini.

Bagi golongan sosialis yang menentang imperialisme, perkauman dan sikap pelampau fundamentalis agama, maka perang yang melanda di dunia hari ini hanya akan menguatkan pegangan golongan haluan kanan konservatif dan golongan fundamentalis Islam dan Kristian (yang sentiasa bersaing dengan pelampau Islam). Ini sekaligus akan melemahkan pendirian golongan moderat/sederhana Islam dan juga golongan kiri di dunia yang mahukan dunia dan suasana tempatan yang bebas dari peperangan.

Dalam keadaan dunia dilanda kegilaan ini, kewarasan kemanusiaan hilang begitu sahaja. Peperangan turut direstui agama manakala media massa antarabangsa pula menggalakkan dunia untuk berperang (kerana ratusan syarikat media sudah dikuasai sekadar beberapa konglomerat media gergasi). Seperti yang dikatakan tadi, yang akan menjadi mangsa bukannya golongan yang berpengaruh dan kaya tetapi adalah gologan rakyat miskin dan golongan pekerja.

Kini kelas pekerja dunia dan golongan rakyat biasa harus menentang perang kegilaan ini habis-habisan. Perang ini tidak akan membawa keuntungan kepada rakyat biasa di Malaysia atau di mana-mana negara di dunia ini. Bagi rakyat Malaysia, baik kaum Melayu, Cina atau India, atau Islam atau bukan Islam, tidak ada sesiapa pun yang akan mendapat apa-apa faedah. Yang menanti cuma kematian, atau lebih teruk lagi penindasan yang berterusan kerana membiarkan segelintir pemerintah kejam yang bersekongkol dengan kapitalis untuk menguasai kehidupan sehari-harian.

Dua puak berpengaruh di dunia iaitu puak kapitalis dan puak agama mungkin memerlukan perang ini untuk matlamat dan agenda mereka masing-masing tapi kaum pekerja patut bersatu untuk mengeluarkan dunia ini daripada kegilaan ini. Mengapa pekerja harus mati dan membunuh pekerja lain untuk membolehkan pemimpin mereka terus menindas kaum pekerja dan rakyat sendiri, dan meluaskan jajahan ke seluruh dunia?

Warga pekerja sedunia bersatulah menentang perang imperialis dan fundamentalis habis-habisan!!!

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

Links to this post:

Create a Link

<< Home